Sunday, June 12, 2011

Perempuan (yang pernah berkahwin didunia) yang disyurga

Soalan:

Seorang wanita berkahwin lebih daripada sekali dalam hidupnya sebelum dia meninggal dunia. Dengan siapakah dia akan bersama di dalam syurga kelak?

Jawapan:

Terdapat tiga pendapat ulama dalam masalah ini, iaitu:

Pertama, dia bakal bersama suami yang paling baik rupanya semasa di dunia.

Kedua, dia diberi kuasa untuk memilih suami yang disukainya.

Ketiga, dia menjadi milik suami yang terakhir.

Pendapat yang terkuat dalam masalah ini adalah pendapat yang ketiga, berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w:

Maksudnya:

Mana-mana wanita yang berpisah dengan suaminya kerana meninggal dunia, lalu dia berkahwin lagi, maka dia menjadi milik suami yang terakhir.– Hadis ini diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’, no. 2704 dan al-Silsilah al-Sahihah, no. 1281.

Ini adalah keterangan umum berhubung dengan masalah ini. Untuk keterangan yang lebih terperinci, terdapat beberapa pendapat ulama yang disertai dalil, iaitu:

Dalil Pendapat Pertama

Al-Qurtubi r.h berkata:

"Abu Bakar al-Jannad menceritakan, telah bercerita kepada kami Ja’far bin Muhammad bin Syakir, telah bercerita kepada kami ‘Ubaid bin Ishaq al-‘Attar, telah bercerita kepada kami Sinan bin Harun, daripada Humaid, daripada Anas bahawa Ummu Habibah isteri Nabi s.a.w berkata:

"Wahai Rasulullah, seorang wanita yang bersuami dua orang semasa di dunia, kemudian mereka mati dan berkumpul di dalam syurga, bersama siapakah dia? Adakah bersama suami yang pertama atau suami yang kedua?"

Nabi s.a.w bersabda: “Dia bersama suami yang paling baik rupanya wahai Ummu Habibah. Kebaikan rupa yang dimilikinya bererti dia meraih kebaikan dunia dan akhirat.” (Al-Tazkirah fi Ahawal al-Mawta wa al-Akhirah, jil. 2, ms. 278).

Aku (al-Qurtubi) mengatakan, hadis ini amat daif. Di dalamnya terdapat dua perawi cacat, iaitu pertama, ‘Ubaid bin Ishaq al-‘Attar dan kedua, Sinan bin Harun.

Perawi pertama dikenali sebagai orang yang amat daif. Manakala perawi kedua pula daif.

Pendapat ulama

a) ‘Ubaid bin Ishaq al-‘Attar:

Menurut Yahya bin Ma’in r.h:

"‘Ubaid bin Ishaq al-‘Attar matruk (hadis yang diriwayatkannya tidak dijadikan hujah)."

Abu Hatim al-Razi r.h berkata:

"Sepanjang pengetahuan kami, dia baik tetapi tidak boleh dipercayai kerana dalam hadis yang diriwayatkan terdapat sebahagian kemungkaran." (Al-Jarh wa al-Ta’dil, jil. 5, ms. 401).

Al-Nasaai r.h berkata:

"Hadis yang diriwayatkan tergolong matruk (tidak perlu dipedulikan)." (Al-Du’afa’ wa al-Matrukin, ms. 72).

Al-Zahabi r.h berkata:

"Dia digolongkan daif oleh Yahya. Al-Bukhari berkata, dia mempunyai hadis-hadis munkar. Al-Azdi berkata, hadis yang diriwayatkan tergolongan matruk (ditinggalkan). Al-Daruqutni berkata, dia daif tetapi Abu Hatim meredhainya. Ibn 'Adi berkata, kebanyakan hadisnya munkar." (Mizan al-I’tidal, jilid: 5, ms. 24).

Ibn 'Adi menyebut bahawa hadis ini termasuk hadis-hadisnya yang munkar. Katanya, kebanyakan hadis yang diriwayatkan, adakalanya mengandungi sanad munkar dan adakalanya pula mengandungi matan munkar. (Al-Kamil, jil. 5, ms. 347).

b) Sinan bin Harun:

Ibn Hibban r.h berkata:

"Hadisnya sangat munkar. Dia meriwayatkan hadis-hadis munkar daripada perawi-perawi masyhur."

Menurut Yahya bin Ma’in:

"Hadis Sinan bin Harun al-Barmaji matruk." (Al-Majruhin, jil. 1, ms. 354).

Al-‘Uqaili menyebutnya dalam kitab al-Du’afak, jilid 2, muka surat 171 dan beliau juga menyebut hadis ini.

Oleh kerana itu, hadis ini tidak dapat dijadikan sebagai dalil. Ia amat daif. Dengan ini, pendapat ini tidak perlu diambil kira.

Dalil Pendapat Kedua

Wanita yang bersuami lebih dari seorang diberi kuasa untuk memilih suami yang disukainya.

Tetapi saya (al-Munajjid) tidak menemui sebarang dalil yang menyokong pendapat ini.

Al-Qurtubi menyebut masalah dan setelah berkata bahawa dia diberi kebebasan untuk memilih apabila bersuami lebih daripada seorang. (Al-Tazkirah fi Ahwal al-Mawta wa al-Akhirah, jil. 2, ms. 278).

Al-‘Ajluni berkata:

"…Sebahagian ulama berpendapat, dia bersama suami yang paling baik rupa parasnya. Sebahagian ulama lain berpendapat, dia diberi kebebasan untuk memilih." (Kasyf al-Khafak, jil. 2, ms. 392).

Pendapat ini disokong oleh Syeikh Ibn 'Utsaimin r.h sepertimana yang telah dijelaskan di dalam kitab Fatawa ­beliau, jilid 2, muka surat 53.

Dalil Pendapat Ketiga

a) Imam al-Tobrani r.h berkata:

"Telah bercerita kepada kami Bakar, katanya: Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Abu al-Sirri al-‘Asqalani, katanya: Telah bercerita kepada kami al-Walid bin Muslim, katanya: Telah bercerita kepada kami Abu Bakar bin Abdullah bin Abu Maryam, daripada Atiyyah bin Qais al-Kila’i, katanya: Muawiyah bin Abu Sofyan meminang Ummu al-Dardaksetelah kewafatan Abu al-Dardak.

Ummu al-Dardak berkata: Aku pernah mendengar Abu al-Dardak berkata bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Mana-mana wanita yang berpisah dengan suaminya kerana kematian, lalu dia berkahwin lagi selepas itu, maka dia menjadi miliki suami yang terakhir.

Saya tidak akan mengutamakan ke atas Abu al-Dardak. Kemudian Muawiyah menulis sepucuk surat kepada Ummu al-Dardak, yang antara isinya: “Hendaklah kamu berpuasa, sebab ia adalah sebagai penyelamat.” (Al-Mu’jam al-Wasit, jil. 3, ms. 275, no. 3130).

Aku (al-Tabrani) katakan, hadis ini mengandungi dua kecacatan, iaitu pertama, kedaifan Abu Bakar bin Abu Maryam dan kedua, al-Walid bin Muslim tidak menjelaskan haddatsana (cerita hadis selanjutnya) pada saki baki sanad.

Pendapat Ulama

Ibn Hibban berkata:

"Abu Bakar bin Maryam termasuk orang pilihan penduduk Syam tetapi memiliki hafalan yang tidak baik. Dia suka menceritakan segala sesuatu dan mengira bahawa yang demikian itu tidak mengakibatkan cacat ke atas dirinya, sehingga dengan demikian dia berhak untuk diabaikan hadis-hadisnya.

Dia juga tidak mengikuti kaedah-kaedah hadis sepertimana yang telah ditetapkan oleh perawi-perawi tsiqah (dipercayai) untuk menjadikan sebuah hadis sebagai dalil. Pada pandangan saya, hadis yang diriwayatkan tidak boleh dijadikan sebagai hujah jika meriwayatkan hadis secara bersendirian." (Al-Majruhi, jil. 3, ms. 146).

Al-Walid bin Muslim dikenali sebagai tadlis (menyembunyikan perawi). Dia sering melakukan tadlis al-Taswiyah, iaitu menyembunyikan perawi daif yang terletak di antara dua perawi yang sama-sama tsiqah (dipercayai).

Oleh itu, para ulama mensyaratkan supaya menjelaskan perkataan haddatsana (cerita hadis selanjutnya) pada setiap tingkatan sanad selepas hadis yang diriwayatkan oleh al-Walid bin Muslim. (Untuk penjelasan lanjut sila rujuk: Al-Tabyin li Asma’ al-Mudallisin oleh Sibt bin al-‘Ajami, ms. 235 dan Tabaqat al-Mudallisin oleh Ibn Hajar, ms. 51).

b) Imam Abu al-Syeikh al-Asfahani berkata:

"Telah bercerita kepada kami Ahmad bin Ishaq al-Jauhari, katanya: Telah bercerita kepada kami Ismail bin Zarrarah, katanya: Telah bercerita kepada kami Abu al-Malih al-Ruqi, daripada Maimun bin Mihran, daripada Ummu al-Dardak, daripada Abu al-Dardak bahawa Nabi s.a.w bersabda:

Sesungguhnya wanita itu menjadi milik suami yang terakhir.(Tabaqat al-Muhadditsin bi Asfahan, jil. 4, ms. 36).

Aku (Imam Abu al-Syeikh al-Asfahani) berkata, perawi hadis ini tsiqah (dipercayai) dan masyhur melainkan Ahmad bin Ishaq al-Jauhari sebab aku tidak pernah menemukan biografinya. Tetapi Abu al-Syeikh sendiri telah menggolongkan hadis ini sebagai hasan.

Jika keadaannya memang begitu, hadis ini memiliki sanad yang paling baik dalam masalah ini.

c. Al-Khatib al-Baghdadi r.h berkata:

"Samurah bin Hajar Abu Hajar al-Khurrasani singgah di daerah al-Anbar dan dia menceritakan hadis ini kepada Hamzah bin Abu Hamzah al-Nasibi, ‘Ammar bin Ata’ al-Khurrasani dan al-Rabi’ bin Badar. Ishaq bin Bahlul al-Tannukhi meriwayatkan daripada al-Rabi’ bin Badar. Telah memberitahu kepada kami Ali bin Abu Ali.

Telah bercerita kepada kami Abu Ghanim Muhammad bin Yusuf al-Azraq. Telah bercerita kepada kami ayahku, katanya: Telah bercerita kepada kami datukku. Telah bercerita kepada kami Samurah bin Hajar Abu Hajar al-Khurrasani, dari Hamzah al-Nasibi, dari Ibn Abu Mulaikah, daripada Aisyah, daripada Nabi s.a.w, sabdanya: “Perempuan menjadi milik suami yang terakhir.(Tarikh Baghdad, jil. 9, ms. 228, no. 4803).

Aku (al-Khatib al-Baghdadi) katakan, hadis ini sangat daif, sebab di dalamnya terdapat perawi yang bernama Hamzah al-Nasibi. Dia amat daif.

Pendapat Ulama

Imam al-Nasaai r.h berkata:

"Hadisnya matruk (diabaikan). (Al-Du’afa’ wa al-Matrukin, ms. 39).

Ibn al-Jauzi r.h berkata:

"Ahmad r.h berkata, hadisnya harus diabaikan. Yahya berkata, hadisnya tidak ada erti sama sekali. Ia tidak menyamai wang satu sen pun. Al-Bukhari dan al-Razi berkata, hadisnya munkar. Al-Nasaai dan al-Daruqutni berkata, hadisnya matruk. Ibn Adi berkata, dia sering membuat hadis mawdu’.

Ibn Hibban berkata, dia seriang membuat hadis-hadis mawdu’ sehingga seakan-akan hadisnya yang paling muktamad dan tidak dibenarkan meriwayatkan hadis daripadanya." (Al-Du’afa’ wa al-Matrukin oleh Ibn al-Jauzi, jil. 1 ms. 237).

d. Al-Baihaqi r.h berkata:

Telah memberitahu kepada kami Muhammad bin Abdullah al-Hafiz, telah bercerita kepada kami Abu al-Abbas Muhammad bin Ya’qub, telah bercerita kepada kami Yahya bin Abu Talib. Ishaq bin Abu Talib telah memberitahu. Ishaq bin Mansur telah memberitahu. Telah bercerita kepada kami Isa bin Abdurrahman al-Salmi, daripada Abu Ishaq, daripada Silah, daripada Huzaifah r.a, kemudian dia berkata kepada isterinya:

“Jika kamu mahu tetap menjadi isteriku di dalam syurga, janganlah kamu berkahwin lagi setelahku (kematianku), sebab perempuan di syurga menjadi milik kepada suami yang terakhir semasa di dunia. Oleh itu, ALLAH mengharamkan ke atas isteri-isteri Nabi s.a.w berkahwin lagi selepas kewafatannya, sebab mereka adalah isteri-isteri baginda ketika di syurga kelak.” (Al-Sunan, jil. 7, ms. 69).

Menurutku (al-Baihaqi), dalam hadis ini terdapat Abu Ishaq al-Subai’i. Dia dikenali sebagai mudallis (suka menyembunyikan perawi) dan sering mencampur-adukkan. Oleh kerana itu, atsar ini daif.

Pendapat Ulama:

Sila rujuk kitab Man Rumiya bi al-Ikhtilat oleh al-Tarablusi, muka surat 64, Tabaqat al-Mudallisin oleh Ibn Hajar, muka surat 42.

Dia digolongkan sebagai perawi daif oleh al-Albani r.h dalam al-Silsilah al-Sahihah, no. (1281).

Terdapat sebuah atsar yang diriwayatkan oleh Ibn Asakir, jilid 19, muka surat 193, no. 1 daripada ‘Ikrimah bahawa:

Asma’ binti Abu Bakar menjadi isteri kepada al-Zubair bin al-‘Awwam. Beliau amat keras ketika bergaul dengan isterinya, sehingga Asma’ mendatangi ayahnya (Abu Bakar) dan mengeluh keadaan yang dialami bersama suaminya.

Ayahnya berkata: Wahai anak perempuanku, bersabarlah! Sebab jika seorang perempuan mempunyai suami soleh, kemudian suaminya mati dan tidak berkahwin lagi selepas kematian suaminya, maka keduanya akan disatukan di dalam syurga.

Syeikh al-Albani r.h berkata:

"Perawinya tsiqah (dipercayai) tetapi di dalamnya mursal sebab ‘Ikrimah tidak pernah berjumpa dengan Abu Bakar melainkan jika dia pernah berjumpa dengan Asma’ binti Abu Bakar." (Al-Silsilah al-Sahihah, jil. 3, ms. 276).

Kesimpulan:

- Pendapat yang menegaskan bahawa perempuan yang bersuami lebih daripada seorang akan bersama dengan suami yang paling kacak semasa di dunia, maka dalilnya tidak sahih.

- Pendapat yang menegaskan bahawa dia diberi kebebasan untuk memilih di antara bekas-bekas suaminya, maka pendapat ini tidak disokong oleh sebarang dalil sama sekali.

- Pendapat yang menyatakan bahawa dia bakal bersama suami yang terakhir adalah pendapat yang tapat. Hal ini disebabkan, hadis Ummu al-Dardak boleh dikatakan sebagai hasan, di samping ia disokong oleh atsar Huzaifah dan atsar Asmak yang kedua-duanya sama-sama mawquf dan keduanya boleh digunapakai untuk menguatkan hadis marfu’ dan untuk menjelaskan bahawa pendapat ini memiliki dalil yang muktabar di dalam syarak.

- Hadis ini diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Albani dalam kitab al-Silsilah al-Sahihah no. (1281).

- Walau bagaimanapun, hadis ini lebih kamu utamakan berbanding hanya sekadar pendapat biasa tanpa disokong dalil. (Fatwa Syeikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid).



http://groups.yahoo.com/group/zaharuddin/message/4608

No comments:

KAWAN

Blog-blog saya yang lain

1SEKOLAH 1MALAYSIA