Friday, March 11, 2011

Kitab Injil: ABIM minta Najib jelaskan dakwaan badan Kristian

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia yang mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membenarkan pengedaran kitab Injil berbahasa Malaysia di negara ini adalah berat dan ia perlu dibuktikan bagi mengelakkan kekeliruan.

Menurut Setiausaha Agung Abim Mohamad Raimi Ab Rahim, dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia itu amat berat dan ia perlu dibuktikan bagi meredakan kegelisahan di kalangan rakyat terutamanya yang beragama Islam.

“Abim memandang berat kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Kristian Malaysia yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan tiada pengharaman dibuat ke atas kitab Injil dalam bahasa Malaysia, kita juga memandang serius kenyataan Persekutuan Kristian Malaysia yang turut mendakwa Perdana Menteri telah menjanjikan pengedaran kitab-kitab tersebut di Sabah dan Sarawak secara bebas.

“Sebagai pemerintah eksekutif tertinggi di negara ini, sebarang kenyataan yang dikeluarkan menggambarkan pendirian serta polisi kerajaan mengenai sesuatu perkara, dalam konteks ini, dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia ini seakan-akan menggambarkan persetujuan kerajaan untuk pengedaran kitab Injil berbahasa Malaysia dalam negara ini sedangkan tiada sebarang pewartaan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Mohamad Raimi berkata pihaknya menuntut penjelasan Najib dalam perkara itu.

“Kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Kristian Malaysia ini amat berat dan perlu dibuktikan kepada umum bagi meredakan kegelisahan di kalangan rakyat di samping menjunjung tinggi ketelusan.

“Dalam hal ini, Abim menuntut penjelasan terbuka Perdana Menteri mengenai isu ini untuk mengelakkan sebarang kekeliruan serta salah faham yang boleh mengganggu keharmonian hubungan di antara kaum yang ingin dijayakan kerajaan selama ini,” katanya.

Semalam Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysian Biskop Ng Moon Hing berkata kerajaan telah memberikan jaminan bahawa kitab injil dalam Bahasa Malaysia akan digunakan dengan bebas sekurang-kurangnya di Sabah and Sarawak.

Katanya, sejak Mac 2009 kesemua usaha untuk mengimport kitab injil dalam Bahasa Malaysia iaitu “Alkitab” sama ada menerusi Pelabuhan Klang atau Pelabuhan Kuching telah dihalang.

Jelas Ng, kargo sebelum ini sebanyak 5,000 naskhah Alkitab yang dimport pada Mac 2009 masih ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang meskipun pelbagai rayuan sudah dibuat.

Ng menambah, rayuan itu telah membuahkan hasil apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk membenarkan naskhah-naskhah yang ditahan di Pelabuhan Klang pada Disember 2009, yang dimaklumkan kepada pemimpin-pemimpin persekutuan oleh beberapa anggota Kabinet dan pembantu mereka.

Menurut Mohd Raimi, pihaknya berpendapat kebebasan beragama di negara ini tidak seharusnya melangkaui ketetapan Perlembagaan Persekutuan bahawa agama Islam merupakan agama rasmi negara.

“Justeru, sebarang enakmen berkaitan seperti Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama yang mengawal pengembangan agama-agama lain ke atas umat Islam harus dipatuhi serta dihormati.

“Abim menilai ketetapan-ketetapan yang digariskan dalam lunas perundangan negara merupakan teras keharmonian serta kestabilan di antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, sebarang kekeliruan serta percanggahan yang wujud harus diselesaikan menerusi dialog serta perbincangan tertutup di kalangan wakil-wakil ketua agama.

“Abim juga menggesa agar mana-mana pihak tidak memberikan tekanan melampau sehingga melangkaui mana-mana autoriti dalam negara dalam memperjuangkan tuntutan masing-masing terutamanya dalam isu-isu yang sensitif sebegini,” katanya.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kitab-injil-abim-minta-najib-jelaskan-dakwaan-badan-kristian/


No comments:

KAWAN

Blog-blog saya yang lain

1SEKOLAH 1MALAYSIA

EMASA