SHAH ALAM: Generasi muda dinasihatkan sentiasa membantu kerajaan mengekalkan kuasa politik sedia ada bagi memastikan kelangsungan pembangunan demi kesejahteraan masyarakat berbilang kaum.
Mereka juga diminta menggunakan liberalisasi maklumat sebaik mungkin agar tidak terperangkap dengan rancangan pihak tertentu yang bercita-cita untuk menghancurkan sistem pemerintahan yang sudah menabur bakti sejak 54 tahun lalu.
Prof Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Dr Ramlah Adam, berkata peralihan kuasa politik sangat berbahaya bagi rakyat Malaysia kerana kumpulan penentang kerajaan tidak mempunyai sejarah kepemimpinan yang jelas.
Katanya, mereka menghasut generasi muda supaya membenci kerajaan kerana menyedari mereka kurang memahami sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan dan kesusahan pemimpin negara membangunkan Malaysia ke tahap sekarang.
Beliau berkata, kumpulan radikal itu juga menggunakan media baru seperti laman sesawang dengan memburuk-burukkan kerajaan bagi membangkitkan kemarahan rakyat bagi memudahkan mereka menggunakan saluran politik untuk menumbangkan kerajaan.
"Bagi mengelak daripada terjerumus dalam perangkap kumpulan politik berbahaya, generasi muda perlu memahami sejarah silam terutama perjuangan menentang komunis dan menuntut kemerdekaan," katanya dalam forum bertajuk `Perpaduan Negara Melalui Komunikasi dan Media' di UiTM, semalam.
Forum anjuran bersama Jabatan Penerangan, Berita Harian, Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM yang dikendalikan oleh Prof Dr Mokhtar Muhammad dari UiTM Shah Alam itu turut disertai Pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Datuk Prof Dr Rosli Saludin.
Dr Ramlah juga mengingatkan generasi muda supaya terus mendokong perjuangan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana ia adalah kesinambungan perpaduan berbilang kaum diperjuangkan sejak 54 tahun lalu.
Sumber : Berita Harian
Ulasan saya: Jujurnya saya tidak mahu Kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang ditukar, tapi pada masa yang sama saya tahu Pembangkang sangat-sangat diperlukan di Malaysia, dalam membentuk keseimbangan. Semuanya kerana rakyatlah Raja sebenar, terutama Bumiputera.
Kita tahu Kerajaan sedia ada sekarang, sebelum tsunami politik 2008, tersangat selesa bertakhta hingga mewujudkan zon selesa. Malangnya ketirisan dalam hal-hal kebajikan rakyat masih berlaku. Kita mungkin kekurangan pemimpin yang benar-benar berkualiti,bersih dan berkharisma.
Kita megah dengan pembinaan komersial besar-besaran di seluruh Malaysia, tapi dipelosok-pelosok di seluruh Malaysia juga, masih ada rakyat yang miskin. Masih wujud jurang kaya dan miskin dalam Malaysia yang tercinta. DEB saya lihat sebagai gagal, tapi niat murni DEB mesti diteruskan.
Terima kasih kepada Allahyarham Tun Razak (dan barisan kabinet menteri zaman itu). Al Fatihah.
Saya tegaskan sekali lagi disini, saya tidak mahu Kerajaan sedia ada sekarang ditukar, tapi yang perlu ditegaskan ialah perlunya keseimbangan, mudahnya gaya urban- Check and Balance.
Saya percaya keseimbangan ini bukan perkara baru. Tapi kenapa saya rasa jarang-jarang sangat terdengar?
'Rakyat didahulukan,Pencapaian diutamakan' adalah konsep yang sangat-sangat baik. Saya puji dengan ikhlas. Namun kita kekurangan sesuatu dalam perlaksanaan konsep itu.
Apa kekurangan itu? saya serahkan pada mereka yang dibayar gaji beribu-ribu hingga berbelas ribu sebulan melalui kutipan cukai untuk menjawab. Saya percaya mereka melihat pada skop yang lebih luas. Cuma saya harap pertimbangan wajar itu sentiasa ada. Insya Allah.
Sebabnya yang menyebabkan perlunya 'Check and Balance' ialah bagi menghapuskan zon selesa di pihak Kerajaan yang telah lama memerintah yang menyebabkan majoriti rakyat rasa ketidakselesaan. Contoh setiap kali harga minyak naik, keluarlah berbagai kenyataan yang mendahulukan Kerajaan, bukan rakyat. Selalu begitu.
Malangnya kerana telah lama begitu dan diulang-ulang, majoriti rakyat merasakan itu sebagai sesuatu yang normal. Kalau marah pun, seminggu dua kemudian semua orang terbiasa dan akhirnya lupa.
Di sinilah Pembangkang perlu ada. Cubit-cubit sayang pada Kerajaan. Kekerasan dan penghinaan melulu adalah amalan warga rimba banat.
Jujurnya bila seorang berautoriti mengatakan negara akan bankrap pada tahun sekian sekian kerana subsidi, itu menandakan nakhoda perlu ditukar. Berita lama, tapi sentiasa saya ingat. Saya tidak perlu mengatakan secara spesifik siapa yang perlu ditukar, tapi kita faham sesuatu dengan akal yang sihat.
4 tahun sekali adalah musim pilihanraya. Saya terfikir bolehkah disingkatkan 4 tahun itu? 3 tahun atau 2 tahun sekali? Apa rasionalnya mesti 4 tahun?Saya tak tahu. Elok kita cari sebabnya 4 tahun kelak. Saya tidak mahu alasan umum-kos tinggi. Itu ekonomi skala minor sedang kita perlu lihat ekonomi skala major- melibatkan KEBAJIKAN RAKYAT.
Rakyat mahukan kebajikan mereka diutamakan sentiasa, terutama majoriti;-Bumiputera.
Tidak perlu mengatakan masyarakat bukan Bumiputera tidak layak menerima hak-hak warganegara kerana selagi kita mahu Artikel 153 tegak, maka kita harus menerima yang bukan Bumiputera juga ada hak dalam Perlembagaan. Itu sejarah. Asas Malaysia.
Namun saya percaya, pasti ada sebab kenapa hak-hak Bumiputera dijunjung tinggi.
Tapi saya lebih percaya, rakyat yang miskin dan sederhana daripada pelbagai lapisan kaum lebih faham apa yang lebih diperlukan-ekonomi, sosial dan khidmat politik yang cemerlang.
Itulah demokrasi berperlembagaan menurut saya. Maaf jika terkhilaf.
Syirik terbahagi kepada 2 jenis:
4 weeks ago
No comments:
Post a Comment