Pada
24 Jun 2012, dengan niat baik, saya menerima jemputan menjadi tetamu dan panel
Wacana Perdana PRU 13: Masa depan Islam, anjuran Kerajaan negeri Kelantan,
bersama dengan panel gandingan lain Dr
Fadzli (exco Kerajaan Negeri Kelantan), Ustaz Fathul Bari (ulamak muda Umno),
dan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, dipengerusikan Amin Idris (TV9). Apa yang
mengejutkan adalah tingkah laku sebahagian peserta yang hadir membanjiri Balai
Islam, Kota Bharu.
Tingkah
laku mereka yang bersorak, menjerit-jerit, mengejek, tidak meraikan perbezaan dan
sebagainya, langsung tidak mencerminkan akhlak Islam. Begitu mengejutkan!
mengalahkan wacana bukan Islam yang pernah saya hadiri. Inikah yang dikatakan
rakyat Serambi Mekah? Hilang sudahkah ajaran ‘tok guru’ yang selama ini mereka
pelajari? Saya dan Fathul Bari, seolah-olah tidak diberikan ruang untuk berhujah.
Mereka tidak dapat menerima perbezaan pendapat. Sedangkan kami hanya berkata
benar. Isu partisan langsung tidak dibangkitkan, kecuali Dr Fadzli.
Apakah
ini dinamakan fanatik atau taksub sehingga menyangkakan mereka yang betul,
orang lain salah? Fanatik bermakna sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu
pegangan atau pendirian yang biasanya berkaitan dengan keagamaan. Tidakkah kita
sepatutnya berlapang dada dan fikiran serta sabar yakni tasamuh atau bertoleransi?
Beberapa saya ingatkan, apabila berhujah, bincangkan apa yang betul,
apa yang salah kerana itu akan membawa kebaikan dan meningkatkan minda.
Bukannya menuding jari siapa betul, siapa salah, kerana ia hanya akan
mengkerdilkan minda.
Ingatlah wahai umatku! sikap fanatik
dan taksub adalah dilarang oleh Allah S.W.T. terhadap umat yang dahulu seperti
yang ditujukan khas kepada Ahli Kitab.
FirmanNya yang bermaksud:
"Katakanlah,
"Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara
yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah sesat
sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka
telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul". (Surah al-Ma'idah:77)
Saya lihat sebahagian besar mereka
yang hadir teramat taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahu pun guru
atau kumpulan mereka. Perbuatan mereka begitu melampau. Kejumudan pemikiran
mereka begitu terserlah. Kebekuan
pemikiran mereka tidak mampu untuk berbincang bagi membandingkan pendapat
sendiri dengan pendapat orang lain, terutama dalam mengambil pendapat yang
lebih kuat dalil dan alasannya.
Menurut Mohammad Kamil Majid (2011),
taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza
dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang
bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara
berani menuduh orang yang berlainan pendapat darinya sebagai jahil, bodoh, fasiq
dan derhaka. Seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan
perkataannya sebagai firman yang diturunkan. Sikap taksub dan fanatik ini
dikutuk kerana, ia mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang
lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak
mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih buruk, apabila ia
mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti
mengutuk dan menuduh orang lain melakukan tidak betul, bidaah, kufur dan keluar
dari agama.
Fenomena ketaksuban juga boleh
berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan masyarakat secara menyeluruh,
kecuali mereka yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah
mereka sahaja. Ketaksuban ini boleh membawa kepada menghalalkan darah dan harta
orang yang di luar jamaah, kerana telah dianggap murtad dan kufur. Golongan
melampau juga akan memperlihatkan sikap pra-sangka buruk kepada pihak lain.
Lebih banyak menuduh dan menghukum dari memberi nasihat dan pengajaran.
Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap
batil. Selalunya ia ditujukan kepada pemerintah yang tidak melaksanakan hukum
seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT atau menangguhkan pelaksanaan syariat
dan menggantikannya dengan hukuman ciptaan manusia. Golongan ini akan
melancarkan jihad terhadap sesiapa yang enggan menunaikan hukum Islam (Mohammad
Kamil, 2011).
Pada saya, inilah sebenarnya yang
menjadi punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham umat Islam
terhadap akidah mereka. Dalam hal ini, bukan akidah itu yang salah, tetapi cara
memahami akidah itu yang salah. Di manakah sikap kesederhaaan (berimbang) atau
wasatiyyah yang sepatutnya menjadi pegangan kita semua? Lebih menyedihkan lagi,
mereka bersorak dan mengejek-ngejek ketika ayat-ayat Quran dan Hadis dibacakan.
Maka benarlah kata-kata Syaikh
Al-Albani yang mengatakan, umat Islam masa kini, semakin jauh tersasar. Mereka hanya
berpegang kepada pendapat pemimpin mereka. Tatkala terjadi perselisihan,
pendirian mereka pada dasarnya kembali kepada pemimpin mereka, jika ada ayat
yang sesuai, mereka ambil, jika tidak, mereka sisihkan.
Saya ingatkan pimpinan negeri Kelantan,
sebagai pemimpin umat Islam hari ini, hendaklah berhati-hati dalam memimpin anak
buahnya agar jangan sampai menjadi penyebab kerosakan umat. Mereka hendaklah
takut kepada Allah SWT. Bacalah surah Ibrahim : 21-22, Al-Ghafir : 47-48, dan As-Saba’
: 31-33. Mudah-mudahan Allah SWT memberi petunjuk kepada kita semua, menjadi
pemimpin yang mengajak umat ke jalan benar dan hak, bukannya batil.
Bagaimanakah kita sebagai satu umat
itu boleh maju ke hadapan, apa tah lagi boleh memimpin umat Islam, jika kita
asyik berpecah belah sesama sendiri? Saling bermusuhan dalam perkara titik
bengik dan hilang pertimbangan, kerana rasa fanatik dan taksub kepada pegangan
dan ajaran masing-masing.
Kenapa dengan bukan Islam kita
begitu berlembut, sedangkan sudah jelas mereka menentang Islam? Apakah kita
menjangka mereka akan memeluk Islam dengan menggadaikan prinsip dan maruah?
Tidak boleh dibezakan antara kafir harbi dan kafir zimmi?
Saya masih ketika mengikuti
kuliah-kuliah Pas dahulu, bertepuk tangan itu dalam majlis seolah-olah haram. Hari
ini mereka terlebih bertepuk daripada Umno sendiri. Apakah makna semua ini? Itupun mereka masih
terus menuding jari kepada Umno tanpa mahu muhasabah kepada diri sendiri?
Kesimpulannya, mereka yang saya
perkatakan ini sebenarnya keliru
dan tidak boleh membezakan antara
tugas pemerintah dengan tugas individu atau rakyat marhaen. Mereka tidak dapat
membezakan antara ajaran tok guru dengan ajaran Islam yang sebenar. Semua yang
dilakukan oleh tok guru, seolah-olah maksum.
Saidina Abu Bakar RA memerangi orang
yang tidak membayar zakat dan murtad adalah sebagai menjalankan tugas sebagai
pemerintah. Pada peringkat individu, mereka sepatutnya melakukan amar maaruf nahi
mungkar. Mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya
atas semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya.
Begitulah dalam konteks negeri Kelantan.
Rakyat Kelantan mesti dididik untuk
berlapang dada dan bersikap terbuka menerima orang lain dan perbezaan yang
wujud. Kita tidak mahu mendengar lagi ada yang sanggup bakar stadium dan trak
polis hanya kerana kalah dalam permainan bola sepak. Ini bukan lagi taksub
tetapi telah diserang dengan virus Permanent
Head Damaged (PHD). Tidak dinafikan saya agak sedikit
beremosi ketika wacana itu, tetapi saya tidak berada dalam kelompok PHD.
Saya mungkin akan dikutuk dan
diserang lagi selepas ini seperti yang dilakukan dalam you tube Wacana tersebut, yang sedang tersebar dan hangat
diperkatakan. Tetapi saya mengambil sikap tidak kisah. Puak-puak fanatik dan
taksub ini boleh berkata apa sahaja tentang diri saya. Saya tidak perduli apa
yang manusia mahu kata. Saya lebih peduli kepada apa yang Allah kata.
Jika ada kesempatan lagi, mungkin
akan pergi ke Kelantan, untuk melihat telatah-telatah PHD ini. Mudah-mudahan
dengan tersiarnya artikel ini, pihak kepemimpinan negeri Kelantan akan
mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengurangkan dan mengatasi masalah kefanatikan
dan PHD di kalangan pengikut-pengikutnya.
Jika tidak, tag line “membangunkan bersama Islam” yang menjadi pegangannya,
hanya akan tinggal menjadi kata-kata yang enak didengar, tetapi tidak ke
mana-mana. Pakailah serban dan kopiah sebesar manapun, tidak ada maknanya, jika
akhlak kita tidak mencerminkan sunnah yang sebenar. Pendek kata, jika kita
ingin membangun bersama Islam, pastikan di dalam kopiah dan serban itu tidak
bersarang PHD. Jauhilah sifat fanatik dan taksub.