Saturday, March 5, 2011

Tegur

Saya ingat lagi. Malam itu. Tahun 2000. Waktu saya tinggal di asrama sekolah di bandar kelahiran saya. Ada pementasan drama di dewan sekolah. Dewan lama yang di dalam bangunan blok C, tak silap saya, berhadapan bangunan pentadbiran.

Saya tidak menyertai pementasan. Tenaga belakang tabir pun tidak. Itu biar orang lain buat. Saya cuma lebih berminat membuang masa apakala itu malam minggu pula.

Drama pentas ini sempena apa saya lupa. Pelakon-pelakon saya lihat lebih banyak membetulkan gaya dan skrip lebih daripada pengarah. Biasalah. Sebatang rokok saya hisap dalam bilik air berdekatan dewan sekolah. Saya bukan perokok tegar. Cuma malam itu ada rokok dalam poket. Sebatang sahaja.

Kemudian melangkah masuk semula ke dalam dewan. Seorang pelakon pengsan. Senior kelam kabut. Entah apa di kabutkan saya pun tak tahu. Panggil saja warden terus kan senang tak?

24 minit kemudian, ok...30 minit kemudian, Ketua Warden datang bersama dua warden perempuan. Yang terbaring diatas pentas, pengsan tadi, itu perempuan. Saya duduk dibangku plastik dihujung dewan.

Jarak saya dan pentas 4 bilik kelas. Ini dewan serbaguna-kelas boleh, tempat ceramah/konsert/jamuan/peperiksaan/stor. Dipisah-pisahkan besi yang boleh dilipat-lipat ke tepi itu.

'Od, jomlah pergi dewan makan. Lantaklah diorang tu' ajak seorang kawan. Saya tak menjawab apa-apa. Kawan tadi pun tidak berganjak.

'Lepak dulu' akhirnya jawab saya sambil memandang ke pentas. Pelakon masih tak sedar lagi.

Pagi esok-

Saya dan kawan-kawan menuju dewan makan. Sarapan. Ketua Warden juga sama bersarapan ditemani anaknya. Kami mengambil pinggan nasi goreng bahagian masing-masing dan menyertai Ketua Warden.

'Malam tadi ada kamu semua tengok atau rasa apa-apa tak?' tanpa ditanya Ketua Warden bertanya.

'Tak ada apa-apa pun Cikgu. Kenapa?' jawab seorang wakil tak rasmi.

'Saya dah banyak kali pesan. Tapi degil. Jangan,jangan,jangan,jangan dating di kawasan sekolah,sama la pun kat mana-mana pun. Dalam asrama pun tak boleh. Degil. Kepala batu!' hurai Ketua Warden.

Saya dapat menangkap maksud Ketua Warden. Biarkan lagi perbualan bersambung. Sedap pula nasi goreng ni.

'Kenapa Cikgu?Pasal malam tadi ke?'tanya wakil tak rasmi lain.

'Ha, ya la, lepas ni entah apa pulak. Pengsan semalam, ni Mak Bapak kejap lagi mesti datang tengok. Berjawab saya dengan Mak Bapak pulak. Padahal dah dipesan. Jangan buat,jangan buat. Degil. Dating la lagi banyak-banyak!!' makin panjang dibalas Ketua Warden. Subliminal verses.

'Ada hantu ke?' tanya saya.

'Bapak hantu pun ada kalau buat maksiat ni!!!Hishhhh' marah Ketua Warden entah pada siapa dan berlalu keluar dewan.

Kami meneruskan sesi sarapan kami. Pagi Ahad di asrama memang tak mencabar.

No comments:

KAWAN

Blog-blog saya yang lain

1SEKOLAH 1MALAYSIA