Dulu masa kecil-kecil, kalau terjumpa majalah Gila-Gila yang lama-lama waktu kartunis Ujang (awal 90 an) masih sebagai staff di Creative Enterprise, saya paling suka lihat watak kartun Atuk. Selain daripada janggut-janggut halus yang tidak ditebas, yang lain hampir serupa dengan rupa Arwah Atuk. Sampai sekarang setiap kali aku melihat kartun Atuk dalam Gila-Gila, saya mesti terkenangkan Arwah.
Pakaian kegemaran Arwah kalau dirumah ialah baju pagoda putih atau t-shirt, seluar slack hitam, dan coklat cair. Arwah kalau membaca surat mesti akan pakai cermin mata.
Dan paling sempoi, Arwah selalu bergurau dengan menggunakan gigi palsu beliau. Akan dikeluarkan gigi palsunya, dan dijengoi-jengoi mengacah cucu. Kami para cucu ketawa besar melihat gurauan Arwah.
Dulu masa Arwah masih kuat, dibela beliau burung merpati. Sangat banyak dibela Arwah, jadi setiap pagi Arwah atau Mak Long Tik akan memberi makan nasi sejuk. Ada caranya memanggil burung-burung yang mencecah kadang sampai ratusan, saya pernah cuba sekali memberi makan, namun tiada seekor pun mahu dekat. Arwah cuma ketawa perlahan.
Selain membela merpati, Arwah juga akan memasang jerat. Yang saya selalu nampak terkena dengan jerat itu ialah tupai tanah. Rupa macam tupai biasa, cuma muncung lebih panjang dan gigi tajam. Nampak liar saja.
Dulu kalau waktu para cucu tinggal sementara di kampung, Arwah rajin ke bandar Pontian mencari lauk. Berseorang saja Arwah pergi. Saya ingat lagi Arwah akan memakai baju batik, seluar slack dan berkasut.
Dari rumah Arwah berbasikal menuju ke simpang besar jalan Johor Bahru- Pontian, menunggu teksi. Ada lah beberapa kali saya mengikut Arwah. Setahu saya Arwah paling suka dengan ikan Mayung. Maka itulah selalu dibeli sebagai hidangan. Tukang masak handal di rumah kampung mestilah Mak Long Tik. Asam pedas masakan Mak Long Tik mampu meliurkan saya. Pekat, pedas, dan sedap dimakan panas-panas. Kena pula ada kacang panjang, sambal belacan. Pehhhhhhhhhhh.
Kalau rambutan berbuah, Arwah akan mengambil galah dan sejenis alatan khas memotong ranting khas bertali. Kami para cucu akan mengutip setiap ikat 'motan' yang jatuh. Sedap dan manis buah 'motan' kebun Arwah.
Arwah juga jenis otak bisnes. Dulu Arwah berniaga kecil-kecil dirumah- jual minyak kenderaan. Botol besar RM2,botol kecil RM1. Disusun atas rak depan rumah. Berwarna-warni mengikut jenis botol diisi. Saya setiap kali melihat botol-botol itu teringat air gas. Setiap minggu Atuk dan Bang Ngah Dan akan ke bandar membeli bekalan minyak. Senang untuk orang kampung,tak perlu keluar jauh mengisi minyak motor.
Keluarga saya dulu selalu juga bawa Arwah berjalan. Ke Singapura, Kota Tinggi, Johor Bahru, Segamat, Kukup dan banyak lagi. Semua ditanggung keluarga saya. Yang penting Arwah gembira.
Sekarang apa yang tinggal cuma kenangan. Al Fatihah untuk Allahyarham Haji Abdul Samat bin Abu Bakar.
EDU-kasi: Anak Angkatku, Mohd Aiman
3 days ago
No comments:
Post a Comment