Sepanjang perjalanan aku dan Ayah berbual-bual bagi menghilangkan rasa mengantuk. Kereta dipandu ini enjinnya memang masih bagus, tapi kelengkapan lain agak sederhana. Lampu hadapan sebelah kanan (atau kiri, aku lupa) tidak secerah yang sebelahnya lagi. Ayah menyalakan 'high beam'. Dari Johor hingga ke Penang. Cuma kalau bertembung kenderaan lain, ditukar semula ke lampu biasa. 'Considerable.'
Tak silap aku di Muar, jalan yang melalui kampung-kampung (Parit) dari BP hingga ke Muar, kereta kami ditahan polis. Atau setepatnya 'roadblock'. Semua dokumen kereta lengkap, cuma 'high beam' tadi itu saja ditegur polis. Kami ada jawapannya jadi tiada masalah.
Kami berhenti tidur sebentar di Melaka, bukan di hotel atau rumah tumpangan. Tepi jalan.
Tak kisahlah, orang lelaki tidur mana-mana pun selesa. Ayah pun pernah pesan kita orang lelaki, kasilah tidur bawah pokok pisang pun, yang penting semangat nak ubah diri kena sentiasa ada. Cuma malam itu aku tak dapat tidur sangat. Fikiran berkecamuk, rasa bangga tiada, tapi rasa kusut serba salah. Sebab apa? Entah.
Jam 3 pagi kemudian, kami sambung perjalanan. Aku agak-agak kabur kemudian samada kami melalui lebuhraya atau jalan negeri. Beberapa lama kemudian, tak silap aku beberapa puluh kilometer lagi sebelum masuk ke Pulau Pinang, kami berhenti di R&R waktu tengahari. Ayah yang kepanasan dan kepenatan keluar duduk di wakaf, manakala aku yang masih dalam keadaan kusut memilih untuk duduk saja dalam kereta.
Aku renung wajah Ayah dari dalam kereta. Kedut semakin banyak pada rupa Ayah. Matanya sepet sedikit menampakkan kepenatannya. Rambut pun semakin kurang. Kepanasan cahaya matahari menyebabkan Ayah cepat rasa tak selesa, tapi perjalanan mesti diteruskan. Orang selalu terperanjat kalau dibandingkan aku dan Ayah. Aku tinggi dan besar, Ayah pula kecil saja orangnya. Dalam 1.6 meter. Rasa sebak aku. Aku berjanji akan balas jasa Ayah dan Mak.
Cuma waktu itu, aku masih tak nampak lagi masalah pertama aku di USM. Tunggu beberapa bulan disana nanti, baru tahu. Masalah perempuan, sistem universiti, dan tanggungjawab diri sendiri.
Kami bertolak semula. Waktu diatas Jambatan Pulau Pinang, aku terasa berdebar-debar. Inilah tempat yang selama 3 tahun aku akan berada, dimana suatu masa kelak aku iktiraf Penang sebagai negeri ketiga aku selepas Johor dan Kedah.
Penang Bridge(aku pernah pecut sepecut-pecutnya atas Jambatan ni. Saja-saja. Jalan kosong, 2 lorong pulak tu. Rambang mata dan pemikiran)
Ya, aku benar-benar sayangkan Penang, tapi rasa sayang itu bukan pada mahirnya setiap lorong dan jalan disana(sampai sekarang aku masih lupa-lupa ingat selok belok jalan terutama di Georgetown, ada cerita, nanti aku kisahkan, Insya Allah), tapi rasa semangat untuk sentiasa menyayangi Penang. Aku rindu Penang. Rindu suasana, rindu orang-orangnya. Nasi kandar yang sedap-sedap. Anak mami tiada.Turun dari Jambatan, kami mengambil selekoh ke USM, didepan Gate Minden, kereta diberhentikan sedikit. Ayah bertanya tentang rumah tumpangan USM didalam kepada seorang pengawal keselamatan. Dibalas pengawal tiada kekosongan, tapi dicadangkan kami ke Anggerik Lodging tak berapa jauh didepan (belakang deret-deret Klinik Gelugor). Selepas mengucapkan terima kasih, kami terus ke sana.
Aku lihat, dari luar pagar USM waktu kereta melalui, padang besar ,didepan logo besar USM diperbuat daripada susunan batu. luas mata memandang. Bukit-bukit hijau, bentuk bangunan kolonial. Rasa kusut semakin bertambah. Risau, tapi tak tahu apa punca.
Tak silap ini Padang A, kawasan di Padang Minden, seingat aku 3 kali saja pernah jejak kaki diatas rumput padang. Studio Jamming tu banyak kalilah.
USM. Esok aku akan menjadi sebahagian warga mu. Mahasiswa, walau sampai kini aku tak setuju ada 'maha' didepan siswa itu.Anggerik Lodging. RM50 semalam(2006). Ruangnya memang mementingkan konsep 'economy of space'.
Bersambung.
Kredit gambar- Google.
No comments:
Post a Comment