Monday, April 4, 2011

Gangguan di Daerah Iwakuni, Jepun.

Kisah ini saya alami dikawasan hutan daerah Iwakuni, Jepun pada 2004. Saya adalah anggota Marin berpangkat Sarjan dan di tempatkan di Iwakuni. Semasa disana saya bertemu dengan seorang lagi berpangkat sama yang seterusnya kami bersahabat dan selalu keluar melepak bersama. Adakalanya kami keluar berkhemah dikawasan sungai berhampiran dan pernah mencuba banyak aktitiviti lasak yang lain.

Pada suatu malam, kami cuma melepak dalam berek sambil minum sirap. Berbagai perkara dibualkan dan antaranya sebuah cerita mengenai 7 buah rumah tinggal yang berhantu. Saya skeptikal dan menganggap ini cuma cerita saja.

Diteruskan begini-

Dahulu, ada seorang doktor yang terkenal dan kaya raya hasil dalam displin ilmu perubatan beliau. Dengan kekayaan ini beliau membina sebuah rumah untuk keluarga terdekat, yang terletak jauh ke pedalaman hingga ke kawasan hutan. Ada 7 keluarga termasuk keluarga beliau yang dibinakan rumah persendirian oleh Doktor tadi. Beberapa tahun kemudian, Doktor ini mula kehilangan akal waras sedikit demi sedikit, dan menjadi agak gila. Yang akhirnya merubah terus diri Doktor ini.

Suatu malam tanpa disedari sesiapa, Doktor ini menyembelih seluruh ahli keluarganya dan 6 lagi penghuni rumah lain dan kemudian membunuh dirinya juga. Penduduk tempatan di Iwakuni tidak berani menghampiri kawasan tragedi ini kerana percaya ia kawasan berhantu. Habis cerita latar belakang kawasan yang kami akan pergi ini nanti. Saya akan ceritakan sebentar lagi.

Pada saya, selepas mendengar kisah itu, ia kisah yang tragis dan tak disangka-sangka, tapi pada kawan saya tadi dia lebih berminat untuk pergi menjenguk sendiri kawasan dikatakan itu. Jadi dia menelefon teman wanitanya, seorang tempatan, untuk memandu kami ke tempat berhantu itu. Wanita itu mulanya enggan, tapi sikap orang Jepun yang lemah lembut , akhirnya dia bersetuju dengan syarat dia tidak ikut sekali menyertai aktiviti kami.

Teman wanita kawan itu tadi kemudian meninggalkan kami ¼ batu dari kawasan lorong tanah, itu pun masih meminta kami membatalkan niat kami, membawa ke pinggir hutan, yang sekarang cuma tinggal denai saja membawa ke 7 rumah tinggal itu. Kami membawa bersama bekalan sirap, radio dan rokok kerana bercadang tinggal semalaman disalah satu rumah tersebut. Saya masih skeptikal. Cerita kosong saja ni, pada pandangan saya.

Kami melangkah masuk dan berjalan meredah denai. Saya perhatikan sekeliling langsung tiada lampu jalan, rumah orang, kereta, langsung tiada apa-apa. IT WAS IN THE MIDDLE OF NOWHERE. Tempat jin bertendang. Kami terus berjalan lebih kurang 200 rantai hingga sampai ke rumah yang pertama. Cuma tinggal puing-puing arang saja. Rumah disebelah masih tegak berdiri. Yang lagi 5 buah saya terlupa. Maaf. Yang pasti 3 buah lagi memang masih ada di atas tapak.

Kami terus berjalan hingga ke penghujung jalan, dimana ada sebuah kawasan yang kelihatan pernah terbakar teruk dan turut ada sama sebuah kereta buruk berkarat (jangan tanya macam mana kereta itu ada disitu, saya tak tahu). Kami kemudian membuat unggun api, hidupkan radio dan berparti seperti seorang anggota Marin berparti.

Kemudian kawan yang tadi mengajak untuk memeriksa rumah-rumah tadi, Kami mulakan dengan rumah yang terdekat. Waktu itu suasana dah gelap. Jadi kami boleh Nampak rumah terdekat itu berpandukan cahaya unggun api.

Kami melangkah masuk ke dalam . Keadaannya masih cantik selain kaca tingkap semua pecah dan lantai yang reput. Ia rumah 2 tingkat tapi kami gagal naik ke atas kerana tangganya terlalu reput. Kami kemudian keluar semula dan masuk ke rumah yang lain. Melalui jalan masuk tadi.

Saya tak pasti, cuma yang saya ingat kami akhirnya sampai ke sebuah rumah disebelah kiri jalan tadi lebih kurang 100 kaki jarak dari jalan. Kawasan sekeliling penuh bersemak tinggi dan pokok-pokok menjalar. Agak susah juga untuk menempuh kawasan bersemak begitu tapi kami berjaya juga masuk ke dalam kawasan laman rumah.

Saya menolak pintu skrin rumah dan masuk ke dalam. Pintu skrin itu masih berspring yang membuatkan ia tertutup semula.Kriuttt. Bunyi spring berkarat. Kali ini tangga ke ruang atas masih kukuh dan kami naik ke atas. Diatas tiada apa sangat yang tinggal selain tingkap yang pecah dan bilik tidak berpintu. Bilik utama diatas yang mengadap tangga menjadi tempat kami melepak. Sambil minum sirap dan mendengar radio yang dibawa.

Kawan saya kemudian mengatakan dia percaya kewujudan syaitan iblis dan tahu cara memanggil makhluk-makhluk begitu. Saya cuma tersenyum saja, tapi dia benar-benar serius untuk memanggil. Entah kenapa saya tak menghalangnya waktu itu.

Saya berasal daripada latarbelakang beragama dan pasti tidak mahu terlibat dengan hal pemujaan syaitan sebegini. Kawan itu kemudian mematikan radio dan mula berkumat-kamit sesuatu. Hampir beberapa minit, sebelum saya terdengar bunyi rempuhan di kawasan bukit di belakang rumah.

Kawasan hutan dibelakang adalah kawasan berbukit. Rumah ini terletak dikawasan lembah. Jadi anda dapat bayangkan kalau anda tergelincir dari puncak bukit, anda akan tergolek berpusing-pusing ke bawah. Jadi bila saya kata saya terdengar bunyi rempuhan dari atas bukit, maksud saya mungkin dalam jarak 200 rantai dari atas bukit ke rumah.

Lebih banyak lagi bunyi rempuhan kemudian. Ia berbunyi seperti ranting dan pokok patah dirempuh sesuatu. Semakin kuat bunyi dan semakin dekat menghampiri kawasan belakang rumah tinggal ini. Bulu-bulu dibadan saya semua dah tegak, termasuk waktu saya menaip catatan ini.

Bila bunyi rempuhan itu berhenti dikawasan belakang rumah, maknanya dipinggir hutan bukit belakang rumah, kami mendengar bunyi tapak kaki yang jelas berlari-lari dari sisi tepi rumah ke laman depan. Ia jelas kedengaran kerana kami duduk hampir benar dengan tingkap. Saya menjerit pada kawan tadi dan berkata ‘Apa benda kau baca tadi? Sekarang kau berhentikan benda ni semua. Sekarang!’

Apa pun benda itu, ia telah berada di laman rumah, kami terdengar bunyi berkeriut pintu skrin depan tadi ditolak sesuatu dan di tutup semula dengan kuat. Kami mendengar bunyi anak tangga dipijak. Dalam cuma 2 anak tangga lagi untuk sampai ke tempat kami ditingkat atas, ‘ia’ berhenti.

Saya sudah sedia melompat keluar tingkap, tak kisahlah kalau kaki patah pun. Kami menjadi panik dan menggeletar ketakutan. Kawan tadi menarik saya ke arah tangga dan terus turun ke bawah, membuka pintu skrin tadi dan terus lari. Kami meredah gelap malam melalui jalan denai.

Kami berlari dalam suku batu hingga sampai ke tempat jalan tar. Dari situ kami berjalan lagi 5 batu lebih kurang ke stesen keretapi. Waktu itu sudah jam 3 pagi, keretapi cuma mula bergerak jam 8 pagi nanti.

Sekarang saya percaya benda-benda begini memang wujud.

Saya nak jelaskan lagi keadaan dan bunyi rempuhan yang kami dengar kerana ini memang cerita betul-betul terjadi;- Jalan masuk ke kawasan 7 buah rumah itu cuma satu jalan denai kecil saja. Tiada tiang lampu, rumah orang berpenghuni, tiada kawasan perkhemahan khas, tiada sesiapa pun. Kawasan hutan tebal. Gelap gelita.

Siapa manusia atau apa-apa saja yang anda fikir boleh berlari turun bukit sampai berbunyi macam ribut taufan? Sampai patah ranting dahan dan pokok-pokok hutan?

Saya salahkan kawan saya kerana memanggil ‘benda’ itu. Saya bercerita hal ini kepada orang yang saya percaya saja. Adik saya antaranya, dia sangat-sangat berminat untuk menjenguk ke kawasan 7 buah rumah tinggal itu. Mendesak-desak saya membawa dia ke sana.

Tapi jangan haraplah. Pertama-kos tiket dan benda-benda lain mahal, Kedua-saya dah bersumpah takkan jejak kaki ke kawasan tu lagi.

http://www.trueghosttales.com/paranormal/haunting-in-iwakuni-japan/

No comments:

KAWAN

Blog-blog saya yang lain

1SEKOLAH 1MALAYSIA

EMASA