Waktu musim buah durian memang meriah. Arwah Atuk rajin mengutip durian yang gugur. Disimpan untuk makan anak cucu. Wajahnya menunjukkan kepuasan waktu mengopek kulit durian. Ulas demi ulas disantap kami. Lemak gemuk berisi durian dari kebun Arwah. Selagi ada durian selagi itu diagah suruh kami makan.
Arwah memang tak lokek langsung dengan anak cucu. Alhamdulillah. Rezeki sentiasa ada untuk Arwah dan dikongsi dengan kasih sayang bersama keluarga. Aku teringat waktu ada sekali Arwah mengajar aku dan adik aku, Aie jampi untuk pandai belajar. Begini- lat tali lat terjumpa telinga gajah,hati aku terang mengadap kalam dihujung lidah. Dikongsi juga petua agar mata tahan tak rabun sampai ke tua, pagi-pagi bangun ludah tumit kaki kemudian gosok ke mata.
Arwah selalu tersenyum. Tengok TV tersenyum, tengok kucing tersenyum, berjalan keluar rumah pun tersenyum. Aku teringat dulu ada kucing warna kuning yang cukup bijak. Kalau Arwah hulur tangan pasti disambut si kucing. Kalau Arwah tepuk-tepuk kusyen si kucing naik berlingkar disebelah.
Waktu aku mahu ke universiti dulu, kira jadi anak rantau lah tu, aku meminta petua daripada Arwah. Dijawab dengan penuh keyakinan-'Doalah minta pada Allah'. Itu yang aku selalu buat. Berdoalah selalu.
Arwah cukup gembira kalau waktu solat cucu-cucunya mahu berjemaah sekali. Arwah pernah mengajar cara sujud yang betul pada aku. Waktu disekolah SMKDPB dulu, Ustaz Mustaffa menjadikan gaya sujud aku sebagai contoh ikutan. Betullah apa yang Arwah ajar dulu. Terima kasih Tok.
Arwah juga selalu menceritakan pengalaman beliau semasa mengerjakan haji dulu. Seolah-olah perjalanan haji beliau macam baru semalam berlalu. Aku masih ingat waktu ahli keluarga lain membuat kejutan waktu Arwah dan keluarga aku pulang dari airport, mengambil Arwah pulang daripada mengerjakan haji. Itu antara saat yang menyatukan seluruh keluarga kami.
Arwah begitu sayangkan cucu-cucunya. Wajahnya tersenyum bangga bila menyebut berapa ramai cucu, berapa ramai cicitnya.
Dulu dunia kami, para cucu, adalah kampung. Kampung dan kampung. Itulah Parit Kasim. Ada masa terluang, balik kampung. Cuti sekolah balik kampung. Raya Haji Raya Puasa mestilah balik kampung, walaupun ada sekali dua aku dan keluarga balik ke Kedah, ke kampung belah Ayah aku. Tok Wan aku disana pun baik juga,samalah macam Arwah. Bezanya disana aku masih ada Tok( nenek) lagi. Jadi di Johor ini, dengan Arwahlah tempat cucu menumpang kasih.
Arwah tak mahir membaca rumi, orang lama. Tulisan jawi memang boleh dibaca. Aku ingat lagi selalu kalau tidur di kampung,lepas saja Arwah solat Subuh, maka dipasang radio RTM. Tiap-tiap pagi. Jadi kalau radio dah berbunyi, walau tanah masih gelap kami sudah keluar keliling rumah. Suasana kampung yang sejuk. Kokok ayam jantan bagai irama khas untuk telinga.
Al Fatihah untuk Haji Abdul Samat bin ABu Bakar.
Syirik terbahagi kepada 2 jenis:
4 weeks ago
No comments:
Post a Comment