Monday, August 13, 2012

Sedikit pelik

1-Pulang daripada terawih di Masjid Kiyai Haji Jabar aka Masjid Rambah, saya, Ayah dan orang sekampung- Haji Bukhari berbual bual.

2-Ayah bertanya Haji Bukhari akan pendapat beliau pada satu malam tatkala saya dan Ayah pulang berterawih pada malam malam sebelumnya.

3-Ayah terdengar suara orang ramai berselawat Nabi. Bermula diatas jalan melepasi masjid hingga ke tanah kurnia (yang biasa melalui jalan Pontian ke Kukup mungkin tahu) hingga ke depan kedai Tahir Corner.

4-Kemudian bersambung dengar lagi hingga ke jalan tambak menuju laut sebelum sampai ke simpang taman perumahan. Haji Bukhari hanya mendengar.

5-Selepas menghantar Haji Bukhari pulang, saya pula membuka 1 cerita pada Ayah. Pada tengah hari Jumaat, biasanya saya akan mengambil Ayah di pejabat Majlis Daerah Pontian menuju ke Masjid Jamek.

6-Kejadian pada minggu lepas. Jadi usai solat, saya dan Ayah yang baru memasuki van kami, telah disapa seorang lelaki tua. Kelihatan agak berumur dengan anak anak jambang putih. Tidak pula berkedut seribu. Kiranya agak awet 'belia' sedikit. Meminta hantar ke Tabung Haji ditengah Bandar Pontian lama, mengadap sedikit bangunan Majlis Daerah Pontian. Baiklah, kebetulan kami lalu berhampiran tempat dipinta.

7-Didalam van Ayah melayan lelaki tua tadi berbual. Bersara PDRM pada tahun 1986, tinggal di Benut dan namanya Haji Abdullah. Saya menghantar Ayah ke pejabat Majlis dahulu sebelum berpusing menghantar Haji Abdullah ke Tabung Haji.

8-Menghampiri Tabung Haji, Haji Abdullah meminta saya turunkan beliau hampir 30 meter dari bangunan Tabung Haji. Tepat lagi berhampiran jejambat pejalan kaki. Saya sedikit pelik kerana awal tadi meminta dihantar ke Tabung Haji. Dan kami memang sedang berada didepan bangunan Tabung Haji pada waktu beliau meminta saya agar diturunkan berhampiran jejantas.


9-Sebelum turun beliau bertanya nama saya. Dan selepas bersalaman dan membuka pintu sliding van, beliau berkata- 'Orang buat baik Allah SWT akan balas'. Sebelum beliau menutup pintu van saya meminta beliau berhati hati berjalan sebelum memasukkan gear satu dan bergerak.

10-Saya pandang melalui cermin pandang belakang dan Haji Abdullah berjalan menuju ke bangunan Tabung Haji (!!). Kali kedua saya lihat cermin masih nampak Haji Abdullah berjalan lagi. Kali ke tiga tiada sudah.

11-Beberapa ketika kemudian saya terfikir bagaimana beliau yang mengaku matanya tidak begitu baik boleh berjalan seorang diri di tengah bandar? Mana anak anak atau keluarga atau kenalan beliau sedang waktu bercerita tadi beliau banyak berpindah randah, kerana bekerja, hingga katanya sampai ke Kedah?

12-Dan pada waktu di masjid tadi beliau meraba raba bahagian van sebelah kanan mencari pintu. Anda tengok van Nissan Vanette pintunya sebelah kiri. Maksudnya penglihatan beliau memang tidak begitu baik. Beliau mengatakan matanya bermasalah kerana kataraks (selaput). Jadi bagaimana beliau boleh berani berjalan seorang diri ditengah bandar?

13-Pada sesetengah orang ini perkara biasa. Pada saya ini petanda untuk berfikir.Wallahualam.

1 comment:

WanBeruas said...

setiap dari kita mempunyai kelebihan serta kekurangan...wallahuallam..

KAWAN

Blog-blog saya yang lain

1SEKOLAH 1MALAYSIA

EMASA