Wednesday, April 20, 2011

Bermain di jalanraya

Kami hanya melihat saja mangsa mengerang kesakitan. Dadanya berombak-ombak menahan pedih kesakitan. Darah umpama air keluar daripada mulut mangsa. Agaknya kalau disentuh sikit saja badan mangsa, pasti meraung menahan saraf sakit yang pecah dalam. Rasanya tunggu masa saja tu.

Saya cuma tahu mangsa dilanggar kereta bila melihat orang kampung telah berkerumun. Ikut tafsiran saya, mangsa dilanggar hingga terpelanting ke kawasan semak berhampiran, begitu kuat impak perlanggaran. Mujur tak termasuk ke dalam longkang sebelah jalan.

Mangsa terhinggut-hinggut, matanya terbuntang luas memandang ke langit. Darah masih umpama air keluar daripada getah paip. Tidak ada apa-apa yang dapat kami lakukan, hanya mengucap rasa kasihan dalam hati. Ini kerana mangsa tidak sepatutnya muncul disini.

Tambahan keadaan jalan yang lurus yang membelah kampung kami mula dari hujung jeti Kukup membawa ke Batu Pahat( Rengit). Memang selalu kemalangan maut terjadi.

Dulu ada kenalan pada seorang kawan maut kerana motor ditunggang merempuh sebuah kereta melintang dijalan yang sama. Kenalan pada seorang kawan itu habis nyawa bila, lehernya terbelah kerana termasuk ke dalam cermin tingkap sebelah pemandu.

Kenalan itu memakai helmet lengkap, bila berlanggar, bahagian kepala masuk dulu ke dalam cermin tingkap yang dipecahkan hentakan helmet. Kaca-kaca berceracak itu umpama guillotine, menyucuk leher kenalan tersebut. Saya yang mendengar pun terasa ngilu, inikan pula yang merasa begitu.

Waktu saya sekolah rendah di SKBP dulu, satu kemalangan terjadi pada seorang junior saya. Hari Sabtu, saya ingat lagi kerana diceritakan cikgu tuisyen saya- Cikgu Mahsar, junior itu dirempuh dan dilenyek kereta waktu mahu ke sekolah (aktiviti apa entah), hingga ada bahagian tulang jadi sehalus serbuk digelek kereta.

Balik pada cerita asal, disini memang kawasan yang agak asing berbanding tempat asal mangsa. Saya kemudian pulang ke rumah. Kemudian beberapa kawan sekampung datang ke rumah. Berborak pasal kemalangan tadi. Mangsa dah putus nafas.

Fikir kami memang dah ajal mangsa- seekor beruk liar, entah dari mana datang.

Jalanraya bukan tempat bermain. Itulah yang saya selalu terfikir bila menunggang atau memandu dengan kelajuan melebihi hadlaju kebangsaan. Saya terus perlahankan kelajuan.

Saya mahu hidup seribu tahun lagi.

No comments:

KAWAN

Blog-blog saya yang lain

1SEKOLAH 1MALAYSIA