Friday, May 20, 2011

Motor

1-Penulis berborak dengan seorang pengawal keselamatan. Beliau pesara polis. Macam-macam disembangkan kami.

Penulis bertanya apa pengalaman paling tak dapat dilupakan beliau masa bertugas dulu. Ada banyak katanya, tapi satu yang paling diingatnya ialah waktu beliau dan rakan beliau mengejar seorang lelaki yang menunggang motor Yamaha RXS pada suatu malam. Berpakaian semua hitam dengan topi keledar hitam.

Penunggang RXS itu memang sangat cekap menunggang, setiap korner memang banting habis. Berdesup.

Cuma mereka(polis dan rakannya) mengejar lelaki itu dalam satu kawasan kecil dalam bandar. Jadi logiknya mungkin dapat juga tahan penunggang itu.

Pecut punya pecut mengejar, penunggang RXS itu memasuki satu lorong.

Tatkala polis dan rakannya itu masuk ke dalam lorong tadi, suasana jadi senyap sunyi. Jalan mati.

Tiada jalan lain untuk keluar selain jalan masuk. Kiri kanan semua dinding rumah kedai bersambung. Penghujung jalan ialah pagar batu rumah Cina.

Bila difikirkan balik baru mereka perasan, penunggang RXS itu tiada nyalaan lampu depan dan belakang.


2-Seorang kenalan penulis bercerita waktu kami berjumpa minum-minum di Tambak Pontian. Beliau bekerja di Tanjung Bin.

Suatu malam waktu nak balik, beliau yang menunggang Yamaha LC 135 meraba-raba seat belakang yang kosong(tiada berikat apa-apa muatan seperti beg/pouch dll). Memang tabiat.

Kali kedua meraba tiada apa-apa. Kali ketiga meraba terasa ada kain di seat belakang. Beliau enggan menoleh dan terus menumpukan pandangan ke hadapan 100%.


3- Waktu di USM dulu, kami dikerah menyiapkan tugasan berkaitan penyenggaraan bangunan. Kami memilh sebuah pasaraya yang menghadap lebuh raya dan laut. Kami menemuramah seorang pengurus yang cukup sempoi.

Usai mendapatkan maklumat kami turun ke bawah bersama pengurus tadi dan berborak macam-macam.

Pengurus tadi bercerita pengalamannya merembat balik ke Pantai Timur kerana urusan keluarga. Urusan mustahak.

Waktu di atas lebuh raya dan mengambil selekoh tajam dengan kelajuan 160 km sejam, matanya terpandang ke tepi jalan. Sekeluarga makhluk berbulu dan mata merah tercongok ditepi.

Alhamdulillah perjalanan beliau selamat.


4-Seorang sepupu tua penulis pernah kemalangan. Motor RXS ditunggangnya ‘total lost’ dan dijual sekerap RM300. Kejadian berlaku pada awal 90 an. Penulis teringat lagi waktu mengunjungi beliau di Hospital Pontian.

Punca kemalangan ialah kerana berlumba haram suatu malam.

Kawan-kawan semua sekepala. Bila memecut motor yang sudah diubahsuai, kelajuan memang mengagumkan. Namun jika kemalangan gigi geraham yang keras pun boleh tercabut.

Sepupu tadi melihat satu jalan lurus dihadapannya waktu beliau sedang ‘leading’ perlumbaan. Diturunkan gear dan pulas minyak 360 darjah.

Pummm!!!!!!!!!!!!!!!

Masuk longkang.

Jalan yang dilihat lurus tadi rupa-rupanya selekoh tajam.

Terima kasih pada rakan-rakan sekepala berlumba haram tadi, ditinggalkan sepupu itu tadi dalam longkang keseorangan. Pengsan. Mujur longkang berdasar lembut.

Kenangan perlumbaan malam itu ialah parut dari dahi hingga ke sebelah hidung.


5-Seorang kawan penulis bekerja sementara di Pekan Nenas lepas SPM. Suatu tengah malam beliau menunggang motor EX5 Class beliau.

Jalan agak lengang kerana hampir tengah malam. Kawan itu tadi pula tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Dan terlelap atas motor lepas saja kawasan bandar Pekan Nenas.

Sedar-sedar beliau sudah memasuki simpang ke Parit Mesjid menuju rumahnya. Jaraknya lebih 30 km dari kawasan bandar Pekan Nenas hingga ke simpang Parit Mesjid tadi.

Menunggang sambil tertidur dengan jayanya sepanjang perjalanan.Bagaimana?Wallahualam.

Alhamdullillah, umur beliau masih panjang.

No comments:

KAWAN

Blog-blog saya yang lain

1SEKOLAH 1MALAYSIA