Thursday, August 23, 2012

Raya orang tak kahwin...lagi

1-Telah raya ke 6 tidak silap hari ini. Pejam celik mungkin tertinggal puasa 6, jika tidak teringatlah.

2-Jadinya agak ramai juga yang masih berkunjung ke hospital atau KK. Saya? Menemani Emak mengambil ujian darah dibuat beberapa hari sebelum mula puasa lepas.

3-Ada menonton rancangan Tanya Ustaz bersama TG Harun Din Al Hafiz yang jujur menegur raya disambut terlalu melebihkan penyanyi. Maksudnya rancangan menyanyi saja penuh di TV yang dihadap ramai pula. Kalau dulu dulu asyik sarkas atau Hindustan saja.

4-Tidaklah pasti ditempat anda tapi dikampung saya jarang benar ketemu lemang, meriam buluh, dodol dan ketupat juga diupah beli daripada orang.

5-Mendengar khutbah raya, jujurnya masuk telinga kanan kiri saja. Mungkin kerana teks dibaca mendatar. Cuba sedikit keras, kerana saya lihat jemaah sebelah saya terpejam mata. Saya kadang memejamkan juga mata 4 ini.

6-Kemudian saya ke kubur mencari pusara arwah Nenek yang tak pernah berjumpa masa hayat beliau. Sedekahkan Fatihah kemudian berpusing pusing dalam kawasan kubur mencari cari kubur saudara mara lain. Secuba mungkin mengelak membaca tulisan pada nisan, takut kekurangan daya ingatan.

7-Pulang solat sunat terus saja bermesra dengan ketupat kari ayam kuah kacang.

8-Buka telefon membaca mesej mesej kiriman ucapan raya. Tahun ini agak kurang kerana tahun tahun sebelumnya biasanya saya yang memulakan ucapan dulu. Dasar........

9-Tengahari raya berisi tidur.

10-Malam sebelum raya berjamu BBQ bersama beberapa kerat sepupu. Silap rancang kalau tidak lebih ramai lebih meriah.

11-Duit raya mujur tidak perlu saya memberi sebab masih bergelar pelajar, kecuali pada adik adik dan beberapa orang anak saudara saja.

12-Malamnya melihat dengar mercun dibakar. Mercun bola. Beberapa biji dikhaskan untuk dilastik ke kawasan kebun. Buat halau babi hutan.

13-Kemudian bermain Skyrim.

Wednesday, August 15, 2012

Monday, August 13, 2012

Metallica di Aidil Fitri




Sedikit pelik

1-Pulang daripada terawih di Masjid Kiyai Haji Jabar aka Masjid Rambah, saya, Ayah dan orang sekampung- Haji Bukhari berbual bual.

2-Ayah bertanya Haji Bukhari akan pendapat beliau pada satu malam tatkala saya dan Ayah pulang berterawih pada malam malam sebelumnya.

3-Ayah terdengar suara orang ramai berselawat Nabi. Bermula diatas jalan melepasi masjid hingga ke tanah kurnia (yang biasa melalui jalan Pontian ke Kukup mungkin tahu) hingga ke depan kedai Tahir Corner.

4-Kemudian bersambung dengar lagi hingga ke jalan tambak menuju laut sebelum sampai ke simpang taman perumahan. Haji Bukhari hanya mendengar.

5-Selepas menghantar Haji Bukhari pulang, saya pula membuka 1 cerita pada Ayah. Pada tengah hari Jumaat, biasanya saya akan mengambil Ayah di pejabat Majlis Daerah Pontian menuju ke Masjid Jamek.

6-Kejadian pada minggu lepas. Jadi usai solat, saya dan Ayah yang baru memasuki van kami, telah disapa seorang lelaki tua. Kelihatan agak berumur dengan anak anak jambang putih. Tidak pula berkedut seribu. Kiranya agak awet 'belia' sedikit. Meminta hantar ke Tabung Haji ditengah Bandar Pontian lama, mengadap sedikit bangunan Majlis Daerah Pontian. Baiklah, kebetulan kami lalu berhampiran tempat dipinta.

7-Didalam van Ayah melayan lelaki tua tadi berbual. Bersara PDRM pada tahun 1986, tinggal di Benut dan namanya Haji Abdullah. Saya menghantar Ayah ke pejabat Majlis dahulu sebelum berpusing menghantar Haji Abdullah ke Tabung Haji.

8-Menghampiri Tabung Haji, Haji Abdullah meminta saya turunkan beliau hampir 30 meter dari bangunan Tabung Haji. Tepat lagi berhampiran jejambat pejalan kaki. Saya sedikit pelik kerana awal tadi meminta dihantar ke Tabung Haji. Dan kami memang sedang berada didepan bangunan Tabung Haji pada waktu beliau meminta saya agar diturunkan berhampiran jejantas.


9-Sebelum turun beliau bertanya nama saya. Dan selepas bersalaman dan membuka pintu sliding van, beliau berkata- 'Orang buat baik Allah SWT akan balas'. Sebelum beliau menutup pintu van saya meminta beliau berhati hati berjalan sebelum memasukkan gear satu dan bergerak.

10-Saya pandang melalui cermin pandang belakang dan Haji Abdullah berjalan menuju ke bangunan Tabung Haji (!!). Kali kedua saya lihat cermin masih nampak Haji Abdullah berjalan lagi. Kali ke tiga tiada sudah.

11-Beberapa ketika kemudian saya terfikir bagaimana beliau yang mengaku matanya tidak begitu baik boleh berjalan seorang diri di tengah bandar? Mana anak anak atau keluarga atau kenalan beliau sedang waktu bercerita tadi beliau banyak berpindah randah, kerana bekerja, hingga katanya sampai ke Kedah?

12-Dan pada waktu di masjid tadi beliau meraba raba bahagian van sebelah kanan mencari pintu. Anda tengok van Nissan Vanette pintunya sebelah kiri. Maksudnya penglihatan beliau memang tidak begitu baik. Beliau mengatakan matanya bermasalah kerana kataraks (selaput). Jadi bagaimana beliau boleh berani berjalan seorang diri ditengah bandar?

13-Pada sesetengah orang ini perkara biasa. Pada saya ini petanda untuk berfikir.Wallahualam.

Saturday, August 11, 2012

20 22 23

1-Malam ini 22 atau 23 puasa? Klise sangat bila dikatakan terasa cepat masa berlalu. Namun benarlah. Cepat benar masa meninggalkan kita.

2-Jadi kebiasaan berterawih lah malamnya. Saya menjadi drebar bersama Ayah. Kami berganti masjid malam ke malam. Ada cepat ada lambat. Makmumnya tetap majoriti golongan 50 an keatas.

3-Kami berganti ganti masjid bukan apa. Terasa teringin mencuba bersembahyang ditempat tempat berbeza. Masjid Jamek Pontian paling lambat siap terawihnya. Paling cepat Masjid Taman Damai. Diikuti Masjid Rambah dan Masjid Kampung Seri Bunian.

4-Masjid Rambah lah yang paling selalu kami hadirkan diri. Berhawa dingin dan Tok Imam tidak pula bermasalah datang dari satu saf ke satu saf bersalaman bertanya khabar dan nama. Rasa seronoklah.

5-Saya pada awal Ramadhan agak culas menyiapkan 20 rakaat Ramadhan. Jadi semakin hujung ini terasa sayang pula. Jadi saya setting pemikiran saya. Begini- setiap 2 rakaat dikira 1. Jadi ada 10 darab 2 sama dengan 20 rakaat terawih. Saya tetapkan kejar 8 rakaat dulu (4/10) dulu. Diikuti 12 rakaat (6/10) . Kemudian 14. Bila sampai 14 terasa bodohlah kalau tidak teruskan, kerana pemikiran mengatakan ada baki lagi 3 saja lagi. 3 darab 2 sama dengan 6 rakaat. Atau 3 salam lagi. Witir biasalah.

6-Jadinya seperti biasa pada Ramadhan, Lailatulqadar. Biarlah kita berjumpa ye? Insya Allah. Kalau kalau berjumpa beritahulah pada malam ke berapa. Tahun lepas ada seorang teman berpangkat abang abang berjumpa. Rezeki dia lah.

KAWAN

Blog-blog saya yang lain

1SEKOLAH 1MALAYSIA