1-Ini adalah pandangan melalui pemerhatian saya bermula daripada zaman saya mengambil STPM, Ijazah Muda, Master dan sekarang. Saya berasal dari Pontian, sebuah daerah ditengah Johor Bahru dan Batu Pahat. Suasana tenang dan pembangunan bertaraf sederhana. Disko?Dulu ada sekarang tinggal nama. Bila bercakap pasal Pontian, orang akan teringat nenas.
2-Waktu saya dalam Tingkatan 6 Kenanga di SMKDPB, sebuah kelas aliran sastera dalam sebuah sekolah Bestari (atau premier?), kami (semua pelajar Tingkatan 6) diwajibkan mengambil Malaysia University English Test atau MUET. Pemberian keputusan berdasarkan band 1 hingga band 6. Makin besar band anda dapat maka semakin baik peluang anda untuk ke universiti. Begitulah pemahaman kami waktu itu.
3-Saya tidak begitu mengambil serius ujian MUET ini kerana sedari kecil asas Bahasa Inggeris saya agak baik. Saya tidak menyombong. Ini adalah hasil pendidikan yang diberikan oleh Emak dan Ayah saya. Semasa membesar dahulu, saya cukup gemar membaca buku, menonton National Geographic dan mendengar album Metallica aka Black album oleh Metallica (selain May Wira Cyborg, XPDC Kita Peng Yu, Iklim- Suci dalam debu, Scorpion Rock you like a hurricane, Deep Purple, Rainbow Temple of the King dan Amelina ah ah).
4-Tambah lagi waktu itu rumah kami mendapat siaran TV5 daripada Singapura, maka setiap hujung minggu kami adik beradik akan berkhemah didepan TV menonton pelbagai kartun dalam Bahasa Inggeris seperti X Men, SWAT Kat, Conan the Barbarian, Bikers Mice from Mars, Robocop dan banyak lagi. Walau tidak faham waktu itu apa isi cerita, tapi kami menonton dengan penuh minat. Dan tak lupa jam 11 pagi setiap hari Sabtu kami menonton cerita hantu Hong Kong alih bahasa ke Bahasa Indonesia. Iya, kami dapat siaran RCTI,SCTV dan entah apa lagi.
5-Saya paling tertunggu setiap malam hari Rabu jam 9 malam, rancangan National Geographic di TV3. Sarikata terjemahan disediakan sangat membantu penguasaan Bahasa Inggeris saya. Daripada situ saya mula perlahan-lahan menguasai bahasa penjajah ini.
6-Kami turut dihantar tuisyen dirumah Cikgu Hamisan, waktu darjah 4, di Rambah untuk kelas matematik dan Bahasa Inggeris. Cikgu Hamisan jarang-jarang sangat mengajar (berlainan waktu saya ambil UPSR di rumah Cikgu Mahsar dan disertai Cikgu Hamisan sekali) dan diambil alih isteri beliau,Cikgu Sharifah. Saya lebih meminati kelas Bahasa Inggeris berbanding dengan matematik kerana saya bermasalah dengan angka(saya dyslexic) jadi saya lebih menumpukan pada apa yang diajar dalam Bahasa Inggeris. Begitu minatnya saya hingga bila waktu Cikgu Sharifah menulis ayat Inggeris di white board, beliau berhenti menulis dan saya berhenti menulis. Beliau menulis kembali saya menulis kembali. Siap ditulis di white board saya siap menulis dibuku. Cikgu Sharifah sangat menyenangi saya sewaktu kelas Bahasa Inggeris tapi bertukar garang dengan saya waktu kelas Matematik. Kemudian pada waktu sebelum PMR saya dan adik saya dihantar ke tuisyen di rumah Cikgu Joseph Santiago. Bahasa Inggeris beliau memang sangat baik namun Bahasa Melayu ada banyak ruang untuk diperbaiki. Saya sangat menghormati beliau. Kami disuruh membaca buku-buku dengan standard tertentu dan menerangkan apa yang dibaca pada minggu hadapan. Kemudian disuruh membuat karangan untuk membangunkan penguasaan tatabahasa kami.
7-Berbalik pada MUET tadi, kawan-kawan sekelas saya ketakutan. Seorang kawan kami, Ehran bin Adnan telah 2 kali mengambil MUET, kali pertama Band 3 dan kali kedua Band 2(!!) tak silap saya. Kurang ingat. Seorang lagi rakan saya Khairul Azwan bin Mohd Ajib merungut-rungut ketakutan sebelum mengambil ujian ini. Saya pula tidak berapa ingat apa saya buat waktu itu, mungkin membaca-baca nota sedikit untuk menyeru semangat Bahasa Inggeris (melawak tak boleh?).
8-Untuk MUET ada 2 tahap ujian-oral dan bertulis. Yang saya ingat waktu oral itu kami beberapa orang diminta membincangkan satu topik. Kami berdebat. Saya rasa nak tergelak melihat kami kawan-kawan yang sama-sama melepak malas dalam kelas sebelumnya bertutur dalam Bahasa Inggeris 98% untuk mendapatkan markah yang tinggi. Habis ujian oral kami kembali semula bercakap Melayu, kalau ada pun bercakap Inggeris itu pun kerana kami tergelak-gelak mengingati ujian oral itu.
9-Alhamdulillah, saya mendapat Band 4 bersama-sama Ehran. Dalam sekolah saya hanya seorang saja mendapat Band 6, pelajar Cina. Yang penting pada saya ialah lepas kelayakkan masuk universiti. Kawan-kawan lain ada mendapat Band 2 hingga Band 3. Kami ditambah semangat dengan kata-kata di universiti boleh ambil lagi MUET. Padahal ujian ini ialah menilai taraf Bahasa Inggeris untuk kemasukkan ke universiti. Kami mendapat maklumat kurang tepat.
10-Bila saya menyambung di USM Pulau Pinang, kami diwajibkan mengambil kelas Bahasa Inggeris dengan kod LSP. Oleh kerana saya mendapat Band 4, maka saya cuma akan mengambil kelas LSP ini pada tahun ke dua. Band-band bawah perlu mengambil pada semester pertama tahun pertama. Untung juga saya ini.
11-Masuk tahun kedua saya pun mengambil kelas LSP ini. Seingat saya cikgu Bahasa Inggeris saya ialah seorang warga Amerika, Mr Dave M.Faherty. Seorang yang baik hati dan penyabar. Namun pada tahun seterusnya saya mendengar beliau telah menjadi seorang yang garang. Mungkin tertekan dengan sikap sesetengah pelajar yang culas.
12-Pada tahun ke tiga saya mengambil kelas LSP ini dengan Mr Lai. Seorang Cina yang berperwatakan senyap dan anda boleh bermasalah memahami samada beliau sedang gembira, marah, malu atau apa-apa saja sepanjang kelas. Ekspresi muka yang sama. Saya ingat seorang kawan sekelas saya Saiful Ali bin Omar membentangkan satu tajuk dan agak kontroversi iaitu hubungan seks yang selamat. Siap dengan contoh pisang dan kondom lagi. Sangat berani beliau ini. Hahahahahahahahaha!!!!
13-Tugasan dan kuliah di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan menggunakan Bahasa Inggeris. Saya agak sedikit tertekan disini kerana penggunaan Bahasa Inggeris disini agak intensif. Tambahan pelajar Cina bersoal jawab dengan pensyarah dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana kami Melayu Tuan di Tanah Melayu, maka kami juga perlu mahir bertutur dalam Bahasa Inggeris. Ada seorang kawan saya Mohd Ezwan melahirkan rasa tertekan beliau dengan penggunaan Bahasa Inggeris sebegitu. Saya cuba menyabarkan beliau dan dalam masa yang sama menyedari masalah yang bakal kami hadapi selama 3 tahun belajar Ijazah Muda disitu. Cabaran Bahasa Inggeris.
14-Kawan-kawan negeri Kelantan seperti Jamaludin Abdul Rahman, Mohd Shazimie dan Mohd Syawal Ab Rahman juga mengeluh kerana mereka tidak memahami butir kata pensyarah. Seorang pensyarah kami, Encik Azlan Raofuddin sangat mengambil berat pada kawan-kawan Kelantan ini kerana menyedari masalah penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Rasanya majoriti kawan-kawan Kelantan saya dan negeri-negeri lain juga berhadapan masalah dengan Bahasa Inggeris. Setiap tahun ada saja muka kawan-kawan kami yang perlu mengulang kelas LSP. Mujur saya bolehlah juga dalam berbahasa Inggeris ini hingga dapat berkawan dengan seorang perempuan Cina Muar yang kecil-kecil molek. Nakal sedikit saya dulu. Sikit.
15-Tugasan perlu dihantar dalam Bahasa Inggeris maka kami perlulah juga membaca maklumat dalam Bahasa Inggeris. Paling ngeri ialah jika ada pembentangan pula. Maka kami menjalankan sistem rotary-tugasan kali ini aku ketua, kau bentang. Lain kali kau ketua, aku atau siapa-siapa lagi bentang. Bergilir-gilir. Tidaklah kami mahu berderet saja menjadi ketua dan membentangkan tugasan dalam Bahasa Inggeris. Seorang pensyarah kami Dr Ilias Said pernah memperli saya kerana pronounciation main pukul rata saya pada perkataan -determine. Saya menyebut deter 'main'. Itu menjadi pengajaran pada saya agar memeriksa penuturan Bahasa Inggeris saya dahulu. Hasilnya perempuan Cina Muar kecil-kecil molek tadi memberi 'thumbs up' pada penuturan Bahasa Inggeris saya kemudiannya. Ada juga untungnya berusaha ini.
16-Berkat pendedahan di USM, penguasaan Bahasa Inggeris saya semakin baik. Cuma masih agak ketinggalan berbanding pelajar Cina. Bagaimanapun tidak semua pelajar Cina yang mahir menguasai Bahasa Inggeris. Saya tahu. Seorang kawan kami, Tee Kuan Kooi mahir dalam Bahasa Inggeris dan mahir juga Bahasa Melayu loghat utara. Seronok tengok dia bercakap Melayu.
17-Waktu dalam Msc pula, kami bergaul dengan pelajar-pelajar antarabangsa dari Nigeria, Sudan, Iran, dan negara-negara Arab lain. Maka semakin galaklah kami menguasai Bahasa Inggeris dan dalam masa yang sama perlu pula memahami gaya percakapan mereka. Kawan kami dari Sudan, Husam Al Haj boleh berbahasa Melayu sedikit-sedikit dan gemar makan nasi dengan tangan. Kawan dari Nigeria Umar Abdullahi Bedou sangat-sangat peramah dan mesra serta tidak memandang rendah pada kami biarpun kadang-kadang seperti bercakap ayam dan itik. Yang lain seperti Ibrahim Ado, Hadiel, Izzi, Bashir juga mesra dengan kami. Mereka-mereka ini sangat istimewa dihati kami.
18-Tugasan yang dituntut waktu Msc ini ialah mini tesis atau disertasi. Pastinya dalam Bahasa Inggeris, kecuali seorang yang menggunakan Bahasa Melayu. Encik Mior Abe kereta Kelisa. Tiada masalah. Untuk peringkat Msc ini pastinya perlukan Bahasa Inggeris yang lebih tinggi berbanding Ijazah Muda dahulu. Disini kami berkenalan dengan Google Translate, Chit Chat, dan beberapa lagi. Tool for survival.
19-Membaca jurnal,artikel, kertas seminar, buku dan sumber-sumber lain dalam Bahasa Inggeris seperti kata tak kenal maka tak cinta. Ditulis nota, ditafsir semula, dipilih perkataan yang sesuai dan kedengaran cantik. Tatabahasa perlu disemak dan dipelihara. Kebanyakkan teguran ialah ejaan dan tatabahasa. Alhamdulillah kami mendapat A- untuk disertasi.
20-Saya pula cuba menanamkan minat saya dan keperluan disertasi dengan memuat turun PDF majalah Guitar World (selalu juga beli majalah ini di Borders Queensbay Mall Penang, RM25). Ia ternyata membantu sedikit sebanyak penguasaan Bahasa Inggeris saya. Cuma kita tahulah stail American English ini, maka kadang-kadang terkeluar juga WTH, WTF, dan entah apa lagi eksplisit.
21-Untuk PHD saya, masih jauh lagi perjalanan saya. Terfikir juga memasuki kelas Bahasa Inggeris untuk menajamkan lagi skil pengucapan dan kemahiran Bahasa Inggeris untuk persediaan VIVA. Insya Allah. Tok Guru saya Guitar World dan strip cartoon Dilbert telah mula membantu sedikit sebanyak.
22-Saya telah memberitahu pada tampalan sebelum ini dan diulang lagi disini-menguasai Bahasa Inggeris dan mengukuhkan Bahasa Melayu bahasa Ibunda.